Pesakit yang mengalami pengurangan penglihatan secara berterusan akibat glaukoma akan mengalami tekanan perasaan yang amat berat. Menjaga keperluan pesakit adalah satu cabaran bukan sahaja kepada doktor malah ahli keluarga juga. Namun demikian, ahli keluarga dapat membantu pesakit dalam pelbagai cara. Antaranya:
- Menyusun barang-barang di rumah mengikut penggunaan seharian pesakit agar mudah dijumpai dan dikenal pasti oleh pesakit. Contohnya menggunakan label berwarna terang untuk barang-barang yang penting.
- Mengeluarkan barang-barang yang boleh mendatangkan kecederaan kepada pesakit apabila tersandung seperti bangku kecil, kaki meja, wayar yang terdedah dan sebagainya.
- Memasukkan nombor telefon penting seperti polis, ambulans, bomba dan lain-lain di dalam telefon yang boleh disambung dengan menggunakan pengaktifan suara.
- Menggunakan jalur getah yang berlainan warna di keliling pelbagai jenis ubat supaya mudah dikenal pasti.
- Menambahkan lebih banyak lampu di rumah supaya mendapat suasana yang lebih terang dan dapat menyenangkan pergerakan pesakit di kawasan rumah.
- Membuat senarai dan masa pengambilan ubat-ubatan di dalam dompet atau simpan penggera di telefon bimbit anda untuk mengingatkan pesakit menggunakan ubat titis mata pada waktu yang ditetapkan.
- Membantu pesakit dengan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan mata.
- Selain dari semua diatas, adalah penting untuk memberi sokongan moral kepada pesakit dan mendorong pemulihan dikalangan masyarakat dengan mengadakan latihan vokasional bagi mengatasi kekurangan upaya pesakit.
- Memastikan semua ahli keluarga menjalani pemeriksaan saringan glaukoma.
- Menyebarkan mesej pemeriksaan saringan glaukoma kepada masyarakat.