Dalam pembedahan glaucoma ini, satu lubang saliran kecil (fistula) dibuat untuk mengalirkan cecair dari dalam mata ke bahagian luar mata, dengan itu mengurangkan tekanan di dalam mata. Ini adalah pembedahan yang paling biasa dilakukan untuk glaukoma, dan dikenali sebagai trabekulektomi.
Dalam teknik pembedahan ini, lubang fistula dibuat pada lapisan luar bola mata pada persimpangan antara kornea dan sklera. Ia dilakukan untuk membolehkan pengaliran cecair dari dalam mata mengalir keluar melalui saluran alternatif yang baru. Cecair di dalam mata disalurkan melalui lubang kecil fistula ini ke takungan di bawah kulit lapisan luar mata (ruang sub-Tenon / sub-konjunctival) yang dipanggil ‘bleb penapisan’. Ada jahitan yang juga diletakkan bertujuan untuk mengawal aliran cecair yang keluar dari fistula. Cecair ini kemudian diserap melalui kapilari darah di keliling mata. Pembedahan biasanya dilakukan di bahagian atas bola mata yang terletak di bawah kelopak mata.
Selepas pembedahan, satu lepuh/parut berwarna putih kecil boleh dilihat di bahagian atas mata dan ini dipanggil ‘bleb’. Dalam kebanyakan kes, bleb tetap dilindungi oleh kelopak mata yang atas dan tidak boleh dilihat kecuali kelopak mata dinaikkan ke atas.