Terdapat beberapa ubat yang tersedia untuk menurunkan tekanan mata pesakit glaukoma. Oleh kerana ini adalah rawatan sepanjang hayat, adalah penting untuk memilih ubat mata yang tidak mengganggu kualiti hidup pesakit.
Berikut adalah senarai ubat mata yang sering digunakan bersama kesan sampingan yang boleh dialami:
Analog Prostaglandin
Latanoprost, Travoprost, Bimatoprost, Tafluprost
Cara menggunakannya adalah 1 titis sekali sehari pada waktu malam untuk mata yang terlibat. Ia boleh digunakan pada waktu siang mengikut budi bicara doktor.
Kesan sampingan: boleh menyebabkan kemerahan mata (yang mungkin hilang atau pudar dalam jangka masa beberapa minggu), kegelapan warna iris dan kulit di kelopak mata, dan boleh menyebabkan bola mata kelihatan lebih tenggelam di dalam soket mata, akibat pengurangan lemak di keliling bola mata. Ia juga boleh menyebabkan bulu mata bertambah panjang.
Beta Blockers
Timolol, Betaxolol, Levobunolol
Dos: satu titis dua kali sehari (seperti 7 pagi – 7 malam). Terdapat juga ubat jenis sama yang hanya memerlukan satu dos sekali sehari sahaja (wakt pagi)
Kesan Sampingan: Boleh menyebabkan penyakit paru-paru bertambah teruk (seperti asma, penyakit saluran udara obstruktif kronik), boleh menurunkan tekanan darah dan nadi, boleh menyebabkan pening dan kesukaran tidur dan juga kemurungan (tidak kerap), mati pucuk dan penurunan libido. Boleh menghalang pesakit diabetes mengalami gejala kekurangan gula dalam darah (hypoglycaemia) dan mengubah profil lipid.
Agonis adrenergik alfa
Brimonidine
Dos: satu titis tiga kali sehari jika digunakan sendiri dan dua kali sehari jika digabungkan dengan ubat mata glaukoma yang lain.
Kesan sampingan: boleh menyebabkan reaksi alahan dan gatal di mata, dan boleh menyebabkan rasa mengantuk dan tekanan darah rendah. Ia harus elak digunakan untuk kanak-kanak (di bawah umur 6 tahun) kerana boleh menyebabkan rasa mengantuk dan kadar pernafasan rendah (kesukaran bernafas)
Perencat karbonik anhydrase
Brinzolamide; Dorzolamide
Dos: Digunakan tiga kali sehari jika digunakan bersendirian dan dua kali sehari jika digabungkan dengan ubat mata glaukoma yang lain.
Kesan sampingan: Boleh menyebabkan sensasi yang pedih di mata dan rasa pahit di dalam mulut. Jika tekanan mata sangat tinggi, ubat makan atau pil (Acetazolamide) juga boleh diberikan untuk jangka masa pendek untuk mengawal tekanan mata, sementara menunggu masa yang sesuai untuk rawatan laser atau pembedahan dilakukan.
Penggunaan pil acetazolamide sering menyebabkan rasa semut-semut atau kebas di tangan, deria rasa berubah, rasa senak, mual, muntah dan ruam keluar di kulit. Pesakit digalakkan mengambil makanan yang kaya dengan kalium (potassium) (iaitu jus oren, pisang, air kelapa) untuk mengurangkan kesan sampingan. Dalam beberapa kes tertentu, pil kalium (potassium) boleh diberikan. Ubat ini tidak boleh digunakan oleh pesakit ‘sickle’ sel anaemia (terutamanya untuk ubat pil). Ubat ini juga harus dielakkan oleh pesakit yang mempunyai alahan kepada ubat yang mengandungi sulpha. Penggunaan ubat ini harus dibincang bersama doktor pakar mata anda.
Miotics
Contoh untuk kelas ubat ini ialah Pilocarpine. Ia berfungsi dengan meningkatkan aliran keluar cecair di dalam mata. Ia adalah ubat yang sangat popular pada masa dahulu, tetapi kini telah digantikan oleh ubat lain kerana kesan sampingan yang banyak. Ia masih digunakan dalam beberapa situasi seperti glaukoma sudut tertutup atau rawatan sebelum laser.
Kesan sampingan termasuk: rasa sakit di keliling mata, sakit kabala, anak mata menjadi kecil (miosis), penglihatan kabur, dan penglihatan yang kurang dalam keadaan cahaya yang malap. Kesan sampingan sistemik (tetapi jarang berlaku) termasuklah peningkatan pengeluaran air liur dan peluh.
Ubat Gabungan
Terdapat produk yang menggabungkan dua ubat dalam satu botol. Ini sangat berguna untuk pesakit yang memerlukan dua jenis ubat untuk mengawal penyakit glaukoma. Kombinasi yang ada termasuk:
- Timolol + pilocarpine.
- Timolol + perencat karbonik anhaidrase (dorzolamide atau brinzolamide)
- Timolol + brimonidine
- Timolol + analog prostaglandin (latanoprost, travoprost atau bimatoprost)
- Brinzolamide + brimonidine
Ubat gabungan ini sangat popular, kerana ramai pesakit dengan glaukoma memerlukan sekurang-kurangnya dua ubat untuk mengawal penyakit.