Ya, glaukoma juga boleh berpunca dari penggunaan beberapa ubat yang diambil untuk penyakit lain, seperti Parkinson, epilepsi, kemurungan, alahan, gangguan prostat, dan sebagainya. Ini merupakan kes glaukoma sekunder.
Perhatian khusus harus diberikan kepada ubat steroid. Glaukoma yang disebabkan steroid adalah sejenis glaukoma yang terjadi dengan penggunaan ubat-ubatan yang dikenali sebagai kortikosteroid. Biasanya, ia disebabkan oleh ubat titis mata mengandungi steroid yang diambil untuk jangkitan kuman atau alahan di mata (conjunctivitis) / radang mata (uveitis) tetapi boleh juga berlaku dengan menggunakan alat sedut atau ‘inhaler’ yang mengandungi steroid (diambil oleh pesakit yang menghidapi penyakit lelah atau asthma), ubat semburan hidung, ubat salap kulit dan ubat makan atau intravena yang mengandungi steroid. Lebih-lebih lagi, kortikosteroid bukan sahaja boleh menyebabkan glaukoma, tetapi juga boleh menyebabkan kehilangan kawalan IOP pada pesakit yang menerima rawatan untuk glaukoma. Oleh itu, ubat yang mengandungi steroid harus digunakan dengan berhati-hati. Pesakit yang menggunakan apa-apa jenis ubat steroid harus berunding dengan pakar mata dan menjalani pemeriksaan tekanan mata berkala.
Perlu ditekankan bahawa banyak ubat yang boleh mencetuskan atau menyumbang kepada proses penutupan sudut mata dan seterusnya penyakit glaukoma sudut tertutup. Ubat yang digunakan untuk kemurungan, migrain, hilang kawal air kencing, masalah usus dan lain-lain boleh memburukkan atau menyebabkan penyakit glaukoma sudut tertutup. Justeru itu, individu dengan penyakit sebegini harus memaklumkan kepada doktor mereka, agar mendapat penilaian samada ubat-ubatan itu selamat digunakan atau tidak. Pesakit yang mempunyai sudut sempit atau tertutup terutama yang belum dirawat harus berwaspada ketika menggunakan ubat-ubatan, termasuk yang diperolehi di farmasi tanpa preskripsi dari doktor.