Glaukoma boleh berlaku kepada bayi disebabkan perkembangan sistem pengaliran mata yang terencat. Tanda-tandan glaukoma kongenital adalah berbeza berbanding glaukoma yang berlaku kepada orang dewasa. Selalunya pesakit hadir dengan bola mata yang besar atau bahagian kornea menjadi kelabu kebiruan kerana kornea membengkak disebabkan tekanan mata yang tinggi. Bayi akan hadir dengan masalah tidak tahan dengan cahaya terang, mata tertutup apabila terkena cahaya (blepharospasm) dan mata berair yang berlebihan (ini boleh juga disebabkan oleh masalah lain seperti longkang air mata yang tersumbat “nasolacrimal duct obstruction”)
Kongenital glaukoma adalah penyakit yang merbahaya kepada penglihatan dan boleh menyebabkan kebutaan. Pesakit perlu berjumpa dengan pakar mata secepat mungkin. Pemeriksaan dalam keadaan bius (examination under anesthesia) adalah diperlukan untuk pemeriksaan lanjut dan meyeluruh. Pembedahan adalah rawatan utama untuk penyakit ini. Diagnosis awal dan rawatan yang tepat sangat penting untuk mengekalkan penglihatan yang baik untuk jangka masa panjang.
Pesakit memerlukan rawatan susulan pada jangka masa yang panjang untuk memantau tekanan mata dan saraf optik. Pemakaian cermin mata dan rawatan “eye patching’ (tutup sebelah mata) mungkin diperlukan untuk memastikan perkembangan dan pengekalan penglihatan mata yang baik.