Glaukoma adalah penyakit saraf optik mata, yang pada dasarnya adalah struktur yang menyampaikan apa yang dilihat oleh mata kepada otak. Risiko utama ialah tekanan di dalam mata iaitu apabila ianya cukup tinggi, akan merosakkan saraf mata. Jika tidak dirawat, kerosakan yang berterusan akan berlaku kepada struktur ini dan menyebabkan pengurangan dalam medan penglihatan, penglihatan kurang (diperhatikan sebagai penglihatan berkabus / mendung), dan akhirnya menjadi buta.

Mata mengandungi cecair yang dikenali sebagai ‘aqueous humor’ yang berfungsi sebagai pemberi nutrien kepada struktur dalaman mata. Cecair ini dihasilkan di belakang iris (bahagian mata yang berwarna coklat) dan kemudian disalirkan keluar melalui struktur seperti ayak yang dipanggil jejaring trabekular ‘trabecular meshwork’ di bahagian depan mata. Dalam sesetengah mata, sistem pengaliran yang tidak sempurna menyebabkan aliran keluar cecair di dalam mata terganggu, dan seterusnya peningkatan tekanan mata. Tekanan mata yang tinggi ini boleh merosakkan saraf mata yang terletak di bahagian belakang mata dan menjejaskan komunikasi di antara mata dan bahagian otak yang bertanggungjawab untuk penglihatan. Dalam sesetengah kes lain, tekanan mata mungkin agak normal, tetapi glaukoma berlaku kerana ketidakupayaan mata untuk mengendalikan tekanan mekanikal di pangkal saraf mata, atau disebabkan kurang bekalan darah ke saraf yang sama.

Penyakit glaucoma menyebabkan kerosakan kepada saraf mata. Sebahagian daripada saraf mata boleh dinilai semasa pemeriksaan mata, di mana ia dapat dilihat sebagai struktur bulat (cakera optik). Bahagian berwarna merah jambu atau kemerahan mewakili tisu saraf yang membawa maklumat visual ke otak. Bahagian tengah putih mewakili kawasan yang tiada tisu saraf, dan ia dipanggil “cawan” atau ‘cup’. Bahagian putih atau ‘cawan’ yang kecil adalah normal, tetapi ‘cawan’ yang dalam, atau peningkatan saiz ‘cawan’ dalam masa beberapa bulan atau tahun, membawa bersamanya tanda-tanda penyakit glaukoma. Terdapat beberapa saluran darah yang muncul dari cakera optik untuk membekal darah kepada retina.

Glaukoma menyebabkan kehilangan tisu saraf yang kemerahan dan pembesaran bahagian putih ‘cawan’ yang mewakili ketiadaan tisu saraf.

Dalam kebanyakan kes, glaukoma berlaku kepada individu yang mudah terdedah kepada penyakit ini. Glaukoma ini dikenali sebagai ‘glaukoma primer’ – ia tidak berlaku akibat masalah mata yang lain.

Glaukoma juga boleh disebabkan oleh kecederaan mata, penyakit sistemik yang berkaitan, penggunaan ubat-ubatan tertentu, selepas pembedahan mata yang rumit, dan lain-lain. Dalam keadaan ini, penyakit itu dipanggil “glaukoma sekunder” atau ‘secondary glaucoma’.

Walau bagaimanapun, dalam semua kes, sebab utama berlakunya glaukoma ialah tekanan mata yang cukup tinggi lalu mengakibatkan kerosakan kepada saraf mata. Tahap tekanan mata kritikal di mana kerosakan saraf mata akan berlaku berbeza-beza di kalangan pesakit, dan ia bergantung kepada banyak faktor yang akan menentukan kecenderungan setiap pesakit untuk penyakit ini.

Dalam kes lain, tekanan mata mungkin agak normal, tetapi glaukoma berlaku kerana ketidakupayaan mata untuk mengendalikan tekanan mekanikal di pangkal saraf mata atau kerana bekalan darah yang lemah ke saraf mata.
Oleh itu, kerosakan glaukoma mungkin berlaku pada tahap tekanan mata normal – iaitu ianya paras normal untuk kebanyakan individu tetapi tidak untuk semua. Dalam keadaan ini, glaukoma boleh dipanggil “glaukoma tekanan normal” atau ‘normal tension glaucoma’.

Kesimpulannya, untuk kebanyakan kes glaukoma, semakin tinggi tekanan mata, semakin tinggi risiko glaukoma berlaku dan menyebabkan kerosakan berterusan pada saraf mata.

Kebanyakan kes glaukoma berterusan dengan senyap, kerana pesakit tidak perasan kehilangan penglihatan sehinggalah ia menjadi kritikal dan terjadi kepada kedua-dua belah mata, atau mungkin pesakit menganggap bahawa kehilangan penglihatan boleh dirawat contohnya atas sebab lain seperti katarak. Apabila penyakit itu berada pada peringkat lanjut, kebanyakan pesakit akan merasai kemerosotan penglihatan. Kerosakan glaukoma yang berlaku kepada saraf mata tidak dapat dipulihkan, jadi apa yang sudah hilang/rosak tidak dapat kembali sempurna.

Atas sebab sifat penyakit glaukoma di mana pada tahap awal ia jarang dikesan dan kerosakan yang berlaku tidak dapat dipulihkan, glaukoma menjadi salah satu punca utama kebutaan di seluruh dunia. Glaukoma tidak dapat disembuhkan, namun penyakit ini boleh dirawat dan kerosakan saraf mata akibat glaukoma dapat dibatasi malah boleh dihentikan. Oleh itu, penyakit glaukoma yang dapat dikesan pada peringkat awal dan mendapat rawatan susulan yang sesuai dapat mengekalkan penglihatan elok sepanjang hayat.

Mata mempunyai cecair yang dikenali sebagai ‘aqueous humor’ (bendalir mata). Cecair ini membekalkan tenaga nutrient kepada struktur di sekelilingnya. Cecair ini dihasilkan oleh ‘ciliary body’ (terletak dibahagian belakang iris ) dan mengalir di antara iris dan kanta mata (lens) melalui struktur yang dikenali sebagai jaringan trabecular atau ‘trabecular meshwork’ yang terletak di bahagian depan sudut mata.

Kebanyakan kes glaucoma adalah disebabkan oleh tekanan mata yang tinggi kerana masalah pengaliran keluar cecair ‘aqueous humor’ yang tersekat atau terlalu perlahan.

Glaukoma boleh diklasifikasikan mengikut aspek yamg berbeza:

Mengikut umur pesakit:

  1. Kongenital (dari lahir sehigga umur 10 tahun) – Glaukoma kongenital
  2. Remaja (Umur 10 tahun ke 35 tahun) – Glaukoma Remaja
  3. Dewasa (Umur 35 tahun ke atas)

Mengikut punca:

  1. Utama: Tanpa punca yang dapat dikenalpasti
  2. Sekunder “secondary”: berlaku disebabkan sesuatu punca seperti trauma, ubat-ubatan, penyakit mata, selepas pembedahan mata dan lain lain – Glaukoma sekunder

Mengikut tempat yang terhalang dalam sistem pengaliran mata:

  1. Glaukoma (sudut terbuka) “primary open angle glaucoma” – Glaucoma sudut terbuka
  2. Glaukoma (sudut tertutup) “primary angle closure glaucoma” – Glaukoma sudut tertutup

Glaukoma boleh berlaku kepada bayi disebabkan perkembangan sistem pengaliran mata yang terencat. Tanda-tandan glaukoma kongenital adalah berbeza berbanding glaukoma yang berlaku kepada orang dewasa. Selalunya pesakit hadir dengan bola mata yang besar atau bahagian kornea menjadi kelabu kebiruan kerana kornea membengkak disebabkan tekanan mata yang tinggi. Bayi akan hadir dengan masalah tidak tahan dengan cahaya terang, mata tertutup apabila terkena cahaya (blepharospasm) dan mata berair yang berlebihan (ini boleh juga disebabkan oleh masalah lain seperti longkang air mata yang tersumbat “nasolacrimal duct obstruction”)

Kongenital glaukoma adalah penyakit yang merbahaya kepada penglihatan dan boleh menyebabkan kebutaan. Pesakit perlu berjumpa dengan pakar mata secepat mungkin. Pemeriksaan dalam keadaan bius (examination under anesthesia) adalah diperlukan untuk pemeriksaan lanjut dan meyeluruh. Pembedahan adalah rawatan utama untuk penyakit ini. Diagnosis awal dan rawatan yang tepat sangat penting untuk mengekalkan penglihatan yang baik untuk jangka masa panjang.

Pesakit memerlukan rawatan susulan pada jangka masa yang panjang untuk memantau tekanan mata dan saraf optik. Pemakaian cermin mata dan rawatan “eye patching’ (tutup sebelah mata) mungkin diperlukan untuk memastikan perkembangan dan pengekalan penglihatan mata yang baik.

Glaukoma selalunya terjadi kepada pesakit yang berumur 40-50 tahun ke atas tetapi ianya boleh berlaku kepada golongan yang lebih muda.

Glaukoma Juvena/remaja selalunya terjadi kepada pesakit remaja atau golongan muda. Tanda-tanda penyakit ini adalah sama dengan pesakit glaukoma yang dewasa. Walaubagaimanapun, glaukoma juvena/remaja lebih merbahaya kepada penglihatan disebabkan tekanan mata yang lebih tinggi dan tempoh penyakit yang lebih lama kerana ianya bermula pada peringkat lebih awal dalam kehidupan pesakit.

Oleh yang demikian, walaupun penyakit ini jarang berlaku, semua individu yang menghadiri pemeriksaan mata perlu menjalani pemeriksaan tekanan mata dan saraf mata optik.

Seperti dalam semua bentuk glaukoma, kerosakan utama berlaku kepada saraf optik. Tekanan mata yang cukup tinggi akan merosakkan saraf optik, iaitu struktur yang menghubungkan mata ke otak.

“Sudut” adalah bahagian mata di mana iris bertemu kornea dan sklera. Sistem saliran cecair di dalam mata terletak di bahagian ini – iaitu “trabecular meshwork”, yang terdiri daripada pelbagai lapisan tisu penghubung kolagen. ‘Trabecular meshwork’ membentuk struktur seperti jaring yang terdiri daripada lapisan ruang besar dan kecil di dalam struktur itu.

Glaukoma sudut terbuka, seperti namanya, mempunyai ciri sudut terbuka. Tiada apa-apa yang menghalang aliran cecair di dalam mata untuk mencapai ‘trabecular meshwork’, bagaimanapun, masalah di dalam ruang sistem ‘trabecular meshwork’ menyebabkan peningkatan tentangan terhadap aliran cecair di dalam mata. Akibatnya, tekanan di dalam mata makin meningkat, biasanya tanpa sebarang tanda yang dirasai. Ini secara perlahan merosakkan saraf optik.

Tekanan mata dan glaukoma

Peningkatan tekanan mata adalah risiko yang paling penting untuk glaukoma dan, berdasarkan kajian epidemiologi, tekanan mata biasa adalah antara 10 mmHg hingga 21 mmHg dalam populasi Eropah. Bagaimanapun tahap tekanan mata kritikal di mana kerosakan glaukoma berlaku berbeza-beza antara individu. Ini bergantung pada banyak faktor anatomi / fisiologi yang akan menentukan kecenderungan setiap pesakit untuk penyakit ini.

Sebagai contoh, kerosakan pada saraf optik boleh berlaku dalam lingkungan tekanan mata “normal” – keadaan yang kadang-kadang disebut sebagai “Glaukoma tekanan normal” atau “Glaukoma tekanan rendah”. Dalam kebanyakan kes, ciri-ciri pesakit (iaitu struktur kepala saraf optik) menentukan peningkatan risiko terhadap kerosakan yang diakibatkan oleh glaukoma, yang mungkin berlaku pada tahap tekanan mata yang tidak menyebabkan kemudaratan bagi kebanyakan individu lain. Tidak kira sama ada tekanan mata yang tinggi (iaitu di atas 21) atau tidak, kerosakan glaukoma yang berterusan boleh dicegah dengan rawatan yang menurunkan tekanan mata.

Sebaliknya, kes di mana tekanan mata tinggi (melebihi 21 atau 23 mmHg) tetapi tanpa kerosakan saraf optik juga boleh berlaku, dan keadaan ini dipanggil “Hipertensi mata” atau “Ocular hypertension”. Dalam kes ini, ciri-ciri individu menentukan kecenderungan terhadap penyakit ini.

Keadaan ini berlaku pada mata pesakit yang mengalami peningkatan tekanan mata, tetapi tiada kerosakan saraf optik. Oleh kerana ciri-ciri individu tertentu yang merendahkan risiko terhadap penyakit ini, mata seperti ini tidak mengalami kerosakan glaukoma. Sebahagiannya boleh dijelaskan oleh beberapa kes yang disebabkan oleh ketebalan kornea yang lebih tinggi (kornea tebal), yang boleh menyebabkan pengukuran tekanan mata tidak tepat oleh alat tonometer (anggaran tekanan mata terlebih).

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menyedari bahawa sesetengah pesakit dengan hypertensi mata mungkin hanya pada peringkat awal penyakit glaukoma. Ini bermakna tekanan mata yang tinggi itu belum hadir dalam masa yang cukup untuk merosakkan kepala saraf optik. Jika diberi lebih masa (dalam beberapa bulan atau tahun), glaukoma akan terjadi.

Pakar mata akan berbincang dengan pesakit baik buruk pendekatan rawatan yang berbeza untuk kes seperti ini, termasuk pemerhatian sahaja atau memulakan rawatan dengan ubat.

Dalam semua kes hipertensi mata, rawatan susulan jangka panjang yang berterusan adalah amat disyorkan. Pemeriksaan mata yang berulang akan diperlukan untuk pemantauan yang mantap.

Suspek glaukoma adalah istilah yang digunakan untuk individu di mana diagnosis glaukoma tidak boleh disahkan tetapi juga tidak boleh dikecualikan semasa konsultasi. Dalam kes ini, lawatan susulan jangka masa sederhana atau jangka masa panjang bersama dengan penilaian yang sepatutnya mungkin perlu untuk memastikan kehadiran penyakit glaukoma.

Walaupun ini boleh dianggap sebagai situasi yang kurang memuaskan, adalah penting untuk menasihati pesakit untuk kekal tenang, kerana kesukaran untuk menentukan kehadiran penyakit glaukoma biasanya berlaku dalam kes glaukoma peringkat awal dan tidak dalam peringkat lanjut di mana perubahan klinikal lebih ketara.

Kesukaran untuk mengesahkan kehadiran glaukoma mungkin kerana sebab yang berbeza.

Penampilan pangkal saraf mata yang dianggap normal mempunyai variasi luas dalam populasi manusia. Oleh itu, dalam beberapa kes, mungkin sukar untuk membezakan perubahan disebabkan glaukoma peringkat awal dari penampilan saraf mata yang lain sedikit (tetapi tanpa penyakit).

Semua individu yang dikenalpasti sebagai glaukoma suspek atau mempunyai ahli keluarga yang menghidap glaukoma harus menjalani pemeriksaan mata yang menyeluruh untuk mendapat dokumentasi penampilan saraf optik dan status penglihatan. Pemeriksaan ini perlu diulang dari semasa ke semasa untuk dibandingkan jika ada perubahan di sepanjang lawatan susulan jangka panjang. Bersama dengan pemeriksaan lain, penentuan samada kemerosotan berlaku dalam mana-mana ujian yang dijalankan ini akan mengesahkan penyakit glaukoma ada atau tidak.

Pakar mata anda akan berbincang dengan pesakit kelebihan dan kekurangan pendekatan rawatan yang berbeza untuk kes seperti ini. Dalam semua kes, lawatan susulan jangka panjang adalah amat disyorkan, dan pemeriksaan mata perlu dibuat untuk pemantauan yang mantap.

Dalam semua bentuk glaukoma, kerosakan berlaku kepada saraf optik. Tekanan mata yang tinggi akan merosakkan saraf optik, iaitu struktur yang menghubungkan apa yang mata melihat ke otak.

“Sudut” ialah bahagian mata di mana iris bertemu dengan kornea dan sklera. Sistem saliran keluar cecair mata terletak di rantau ini – iaitu jaringan trabekular atau ‘trabecular meshwork’. (Glaucoma sudut terbuka)

Dalam glaukoma sudut tertutup, bahagian sudut di mana jaringan trabekular atau ‘trabecular meshwork’ terletak ditutup/terhalang oleh pangkal iris. Penutupan sudut ini membawa kepada peningkatan tekanan mata dan kerosakan pada saraf optik. Glaukoma sudut tertutup biasanya terjadi dalam “mata yang kecil” – di mana struktur di dalam mata agak terhimpit kerana ruang yang terhad.

Penyakit glaukoma jenis ini biasanya melibatkan lebih ramai wanita daripada lelaki, dan walaupun ia boleh berlaku kepada sesiapa shaja, ia didapati lebih kerap dalam beberapa kumpulan etnik (iaitu Cina). Kebanyakan kes adalah tanpa petanda awal, tetapi ada beberapa kes menunjukkan petanda yang agak ketara. (Glaukoma sudut tertutup akut)

Mekanisme penutupan sudut mata dipanggil ‘pupillary block’, dan ia berlaku disebabkan aliran cecair mata tersekat pada tahap anak mata (dari bahagian belakang anak mata ke bahagian depan anak mata). Ini mengakibatkan tekanan di bahagian belakang anak mata meningkat. Hasilnya iris tertolak ke hadapan dan seterusnya mengakibatkan sudut mata tersumbat.

Perbezaan antara glaukoma sudut terbuka dan glaukoma sudut tertutup adalah penting kerana rawatan setiap satu berbeza. Beberapa prosedur tambahan boleh digunakan untuk merawat glaukoma sudut tertutup apabila dibandingkan dengan kes glaukoma sudut terbuka.

Terdapat satu jenis glaukoma sudut tertutup yang sangat agresif dan menunjukkan kesan yang teruk. Dalam keadaan ini, terdapat peningkatan tekanan mata yang mengejut dan mengakibatkan kesakitan dalam bola mata yang teruk (dan juga di sekitar mata), kemerahan mata dan kabur penglihatan. Ini dikenali sebagai serangan glaukoma sudut tertutup yang akut dan ia adalah kes kecemasan yang jika tidak dirawat dalam masa yang singkat, boleh menyebabkan kerosakan saraf optik dan kehilangan penglihatan.

Glaukoma sudut tertutup akut biasanya berlaku pada sebelah mata, tetapi ia boleh juga melibatkan kedua-dua mata pada masa yang sama. Kesakitan bola mata dan pengurangan penglihatan dialami beberapa jam oleh pesakit. Anak mata seringkali menjadi besar, dan tidak responsif kepada cahaya.

Episod sakit mata atau penglihatan kabur yang hilang secara spontan mungkin bukan serangan penutupan sudut yang akut.

Rawatan termasuk ubat topikal dan sistemik untuk mengurangkan tekanan mata, diikuti oleh rawatan laser yang bertujuan untuk membuka sudut. (Iridotomi laser) Dalam beberapa kes, prosedur pembedahan juga boleh digunakan untuk merawat penyakit ini.

“Sudut” adalah bahagian di mata di mana iris bertemu dengan kornea dan sklera. Sistem penyaliran cecair mata ini terletak di rantau ini – iaitu jaringan trabekular atau ‘trabecular meshwork’.

Glaukoma sudut tertutup biasanya melibatkan “Mata yang kecil” – di mana struktur di dalam mata agak terhimpit di dalam bola mata yang lebih kecil. Pada masa yang sama, sudut yang tersumbat oleh bahagian pangkal iris akan membawa kepada peningkatan tekanan mata dan kerosakan pada saraf optik. (Glaukoma sudut tertutup)

Persentuhan antara pangkal iris dan jaringan trabekular atau ‘trabecular meshwork’ merupakan faktor terjadinya penyakit tersebut. Dalam kes ini, tanpa mengira samada nilai tekanan mata normal atau penampilan normal kepala saraf optik, rawatan mungkin ditujukan untuk menghalang glaukoma sudut tertutup akut terjadi. Apabila dikenalpasti ada sudut mata sempit, yang berlaku tanpa kehadiran penyakit mata lain, ini bermakna bahawa penyakit glaukoma sudut tertutup telah dikesan pada peringkat awal.

Mekanisme penutupan sudut mata dipanggil ‘pupillary block’, dan ia berlaku disebabkan aliran cecair mata tersumbat pada tahap anak mata (dari bahagian belakang mata ke bahagian depan mata). Ini mengakibatkan tekanan di bahagian belakang anak mata meningkat. Hasilnya iris tertolak ke hadapan dan seterusnya mengakibatkan sudut mata tersumbat. (Glaukoma sudut tertutup)

Rawatan yang lazimnya akan dipertimbangkan dalam rawatan glaukoma sudut tertutup adalah ‘laser iridotomy’. Prosidur ini akan menghasilkan hubungan baru antara bahagian depan dan belakang segmen mata (melalui iris). Ia bertujuan untuk meleraikan mekanisme ‘pupillary block’, dengan mengubah posisi iris dan dalam kebanyakan kes, membuka sudut mata. (Iridotomi laser) Pembedahan katarak, atau penyingkiran kanta semulajadi dan penggantian dengan kanta tiruan yang nipis, juga boleh membantu membuka sudut mata.

Ini adalah sejenis glaucoma sudut tertutup yang agresif. Ia biasanya memberi kesan kepada individu yang mempunyai penyakit retina, terutamanya salur darah retina yang tersumbat atau retinopati diabetes yang tidak terkawal. Punca kerosakan utama disebabkan oleh retina yang melepaskan factor kimia yang menggalakkan penumbuhan salur darah. Faktor-faktor ini menghasilkan salur-salur darah baru di ruang hadapan mata, biasanya di sudut mata antara iris dan jaringan trabekular. Salur-salur darah baru ini tidak normal dan rapuh dan akan mengakibatkan penutupan sudut mata (halangan sistem saliran).

Strategi rawatan harus tertumpu kepada punca kerosakan utama (iaitu retina kekurangan oksigen) dan juga kawalan tekanan mata. Glaukoma yang agak kompleks ini sering memerlukan usaha gabungan bersama pakar glaukoma dan pakar retina. Pesakit kencing manis harus berusaha untuk mengekalkan kawalan gula darah yang baik sebanyak mana yang boleh.

Ya, glaukoma juga boleh berpunca dari penggunaan beberapa ubat yang diambil untuk penyakit lain, seperti Parkinson, epilepsi, kemurungan, alahan, gangguan prostat, dan sebagainya. Ini merupakan kes glaukoma sekunder.
Perhatian khusus harus diberikan kepada ubat steroid. Glaukoma yang disebabkan steroid adalah sejenis glaukoma yang terjadi dengan penggunaan ubat-ubatan yang dikenali sebagai kortikosteroid. Biasanya, ia disebabkan oleh ubat titis mata mengandungi steroid yang diambil untuk jangkitan kuman atau alahan di mata (conjunctivitis) / radang mata (uveitis) tetapi boleh juga berlaku dengan menggunakan alat sedut atau ‘inhaler’ yang mengandungi steroid (diambil oleh pesakit yang menghidapi penyakit lelah atau asthma), ubat semburan hidung, ubat salap kulit dan ubat makan atau intravena yang mengandungi steroid. Lebih-lebih lagi, kortikosteroid bukan sahaja boleh menyebabkan glaukoma, tetapi juga boleh menyebabkan kehilangan kawalan IOP pada pesakit yang menerima rawatan untuk glaukoma. Oleh itu, ubat yang mengandungi steroid harus digunakan dengan berhati-hati. Pesakit yang menggunakan apa-apa jenis ubat steroid harus berunding dengan pakar mata dan menjalani pemeriksaan tekanan mata berkala.

Perlu ditekankan bahawa banyak ubat yang boleh mencetuskan atau menyumbang kepada proses penutupan sudut mata dan seterusnya penyakit glaukoma sudut tertutup. Ubat yang digunakan untuk kemurungan, migrain, hilang kawal air kencing, masalah usus dan lain-lain boleh memburukkan atau menyebabkan penyakit glaukoma sudut tertutup. Justeru itu, individu dengan penyakit sebegini harus memaklumkan kepada doktor mereka, agar mendapat penilaian samada ubat-ubatan itu selamat digunakan atau tidak. Pesakit yang mempunyai sudut sempit atau tertutup terutama yang belum dirawat harus berwaspada ketika menggunakan ubat-ubatan, termasuk yang diperolehi di farmasi tanpa preskripsi dari doktor.

Apabila mata tercedera, tekanan mata meningkat secara mendadak akibat kerosakan pada struktur sudut mata, hiphema (darah di ruang hadapan mata), keradangan dan beberapa mekanisme lain. Semakin teruk kecederaan, semakin besar peluang untuk glaukoma berlaku dan juga komplikasi mata lain. Tetapi kenaikan tekanan mata juga boleh berlaku di masa hadapan akibat kerosakan struktur jaringan trabekular atau ‘trabecular meshwork’. Jenis glaukoma ini boleh berlaku antara 10 hingga 20 tahun selepas kecederaan asal. Ia juga dianggap sebagai kes-kes glaukoma sekunder.

Adalah disyorkan bahawa mana-mana individu yang telah mengalami kecederaan pada mata mendapatkan pemeriksaan dari doktor pakar mata dari masa ke semasa.

  1. Secara amnya, semua individu berumur 35 -40 tahun perlu menjalani pemeriksaan mata termasuk pemeriksaan tekanan mata dan saraf optik. Pemeriksaan perlu dilakukan setiap 2-3 tahun kepada individu yang berusia 40 tahun ke atas dan setiap 1-2 tahun kepada individu yang berumur 60 tahun ke atas. Jarak waktu pemeriksaan yang sesuai mungkin berbeza bagi setiap individu. Sila berbincang dengan pakar mata anda.
  2. Semua individu yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit glaukoma perlu menjalani pemeriksaan mata yang menyeluruh dan mengekalkan pemeriksaan mata susulan pada jangka masa yang sesuai. Tidak semestinya semua adik-beradik akan menghidap penyakit glaukoma, tetapi risiko untuk menghidapi glaukoma adalah 10 kali lebih berbanding individu biasa.
  3. Pesakit kencing manis dan darah tinggi juga memerlukan pemeriksaan mata yang kerap untuk mengesan penyakit glaukoma.
  4. Semasa menjalankan pemeriksan mata, doktor mata anda mungkin boleh mengenal pasti risiko anda untuk glaukoma, seperti: (i) cornea nipis, (ii) rabun dekat atau rabun jauh (iii) tekanan mata melebihi 22 mmHg, atau (iv) mempunyai sudut mata yang sempit atau ruang sempit dibahagian depan mata. Faktor ini boleh meningkatkan risiko glaukoma anda dan dengan itu menimbulkan keperluan rawatan susulan. Individu yang berketurunan Afrika mungkin mengalami risiko yang lebih tinggi untuk glaukoma sudut terbuka, dan mereka yang berketurunan Cina mungkin ada risiko yang lebih tinggi untuk glaukoma sudut tertutup.
  1. Bilangan kes penyakit glaukoma biasanya meningkat seiring bertambahnya usia. Semua individu berumur lebih dari 35-40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata.
  2. Adik beradik individu dengan glaukoma berisiko lebih besar.
  3. Individu keturunan Afrika mungkin berisiko lebih tinggi untuk glaukoma jenis sudut terbuka.
  4. Individu keturunan Cina mungkin berisiko lebih tinggi untuk glaukoma jenis sudut tertutup.
  5. Individu yang sangat rabun jauh atau rabun dekat mungkin berisiko lebih tinggi untuk glaukoma.
  6. Individu dengan tekanan mata yang tinggi.

Glaukoma dikenali sebagai pencuri senyap penglihatan dan selalunya dikaitkan dengan kehilangan penglihatan tanpa kesakitan atau petanda fizikal luaran. Selalunya medan penglihatan bahagian tepi terjejas dahulu sebelum bahagian tengah penglihatan terjejas. Pesakit glaukoma mungkin menyedari bahawa mereka tidak dapat melihat objek di bahagian tepi penglihatan (disebabkan oleh kehilangan medan penglihatan bahagian ini), tetapi kebanyakan pesakit tidak dapat perasan apa-apa sehingga penyakit glaukoma pada tahap yang teruk. Kadangkala, pesakit ada juga melaporkan bahawa penglihatan mereka seperti berkabus. (Bagaimana penyakit glaucoma berterusan dalam jangkamasa panjang?)

Antara tanda-tanda glaukoma sudut tertutup ialah mata merah, sakit mata yang teruk, sakit kepala, penglihatan kabur dan sinar cahaya yang berwarna di keliling mentol lampu. Pesakit yang mengalami serangan glaukoma sudut tertutup akut akan mempunyai tekanan mata yang tinggi (melebihi 40 mmHg). Walau bagaimanapun, kebanyakan kes berubah menjadi kronik tanpa apa-apa petanda kerana kenaikan tekanan mata dan penutupan saliran cecair mata berlaku secara perlahan pada tempoh masa yang lama. (Glaukoma sudut tertutup)

Glaukoma juga mempunyai petanda yang tidak khusus seperti penglihatan yang kabus, silau atau memerlukan cahaya yang lebih terang untuk membaca.

Tekanan mata yang normal adalah 10-21mmhg. Anda tidak semestinya mempunyai glaukoma walaupun tekanan mata anda melebihi 21mmhg. Seseorang itu dikatakan mempunyai penyakit glaukoma sekiranya saraf mata optik juga telah terjejas. Tekanan mata mungkin sebenranya lebih rendah sekiranya anda mempunyai kornea yang lebih tebal. Anda tidak mempunyai penyakit glaukoma sekiranya anda mempunyai tekanan mata yang tinggi tetapi saraf mata optik adalah normal. Namun, anda mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidapi penyakit glaukoma. Oleh itu, perbincangan bersama pakar mata anda adalah penting untuk tindakan lanjut.

Keadaan ini dikenali sebagai “ocular hypertension”. (Hipertensi Mata dan Tekanan mata)

Glaukoma dikenalpasti dengan melakukan 4 ujian penting seperti berikut:

  1. Pengukuran tekanan mata dengan alat ‘tonometer’. (Bagaimana pemeriksaan tonometer dilakukan?)
  2. ‘Gonioskopi’ untuk melihat sudut pengaliran cecair mata (trabecular meshwork) dan memastikan samada ia terbuka atau tertutup. (Bagaimanakah pemeriksaan gonioskopi dilakukan?)
  3. Pemeriksaan struktur saraf mata. (Bagaimanakah saraf optik diperiksa?)
  4. Penilaian fungsi saraf mata (medan penglihatan/perimetri). (Bagaimanakah medan penglihatan diperiksa?)

Selain daripada ujian asas ini, ujian tambahan yang boleh dilaksanakan termasuk:

Tonometer adalah instrumen yang mengukur tekanan mata. Ini boleh dilakukan melalui kaedah yang melibatkan sentuhan atau bukan sentuhan. Kaedah sentuhan yang paling biasa digunakan dikenali sebagai ‘Goldmann applanation tonometry’. Ini merupakan kaedah rujukan piawaian untuk mengukur tekanan mata. Mesin lain yang boleh digunakan untuk mengukur tekanan mata termasuk: pneumotonometer, Tonopen, Rebound Tonometer, Perkin Tonometer dan Schiotz Tonometer.

  1. Doktor anda akan meletakkan ubat titis di mata anda untuk menjadikan kornea kebas supaya anda tidak berasa sebarang ketidakselesaan semasa prosedur. Pewarna fluorescein juga akan diletakkan di mata anda.
  2. Anda akan diminta untuk meletakkan dagu dan dahi anda pada mesin ‘slit lamp’ untuk pengukuran tekanan mata.
  3. Hujung biru tonometer akan bergerak ke hadapan sehingga ia perlahan-lahan menyentuh kornea dan punat di mesin itu dipusingkan sewajarnya untuk mengukur tekanan mata.

Ini adalah prosedur yang agak selesa, dan anda boleh membantu doktor anda mendapatkan pengukuran yang lebih tepat dengan mengekalkan dahi anda dan dagu secara stabil pada mesin slit lamp, membuka kedua-dua mata, cuba tidak pejam mata, dan melihat terus ke hadapan

Pemeriksaan tonometri ini biasanya dilakukan pada setiap konsultasi, dan juga boleh dilakukan beberapa kali dalam satu hari. Tekanan mata ialah satu ukuran yang agak dinamik, dan boleh berubah pada waktu yang berbeza dalam satu hari, dan juga berubah mengikut hari yang berlainan.

  1. Doktor anda akan menitiskan ubat bius di dalam mata anda untuk supaya anda tidak merasa sebarang ketidakselesaan semasa prosedur dijalankan.
  2. Anda akan diminta untuk meletakkan dagu dan dahi anda pada mesin slit lamp untuk ujian gonioskopi.
  3. Kanta gonioskopi akan diletakkan secara perlahan-lahan di atas permukaan bola mata anda. Cahaya dari mesin slit lamp digerakkan di sekitar cermin di kanta itu untuk menilai sudut mata secara keseluruhan. Dalam kes tertentu, doktor mungkin akan menekan kanta dengan perlahan terhadap mata anda untuk mendapatkan lebih banyak maklumat, terutamanya dalam mata yang ada risiko tinggi untuk glaukoma sudut tertutup.

Ini adalah prosedur yang agak selesa, dan anda boleh membantu doktor anda mendapatkan penilaian yang lebih baik dengan mengekalkan dahi dan dagu anda stabil pada mesin slit lamp dan membuka mata dengan lebar. Anda boleh cuba rasa biasa dengan kanta menyentuh bola mata, cuba jangan memejam mata dan terus melihat ke hadapan.

Gonioskopi adalah pemeriksaan untuk menilai sudut mata – di mana sistem saliran cecair di dalam mata terletak. Pemeriksaan ini memerlukan pesakit diperiksa di mesin ‘slit lamp’ di klinik mata.

Lampu yang terang akan digunakan untuk menilai penampilan saraf optik, dan menilai kehadiran kerosakan diakibatkan oleh glaukoma. Ia adalah prosedur yang cepat dan selesa.

Saraf optik diperiksa dengan mesin lampu celah atau ‘slit lamp’ dan menggunakan kanta khas, biasanya tanpa menyentuh mata. Saraf optik juga boleh dinilai dengan menggunakan alat yang dikenali sebagai ‘Ophthalmoscope’. Doktor mata akan melihat di dalam mata anda dengan menghampiri anda dengan dekat menggunakan alat ini.

Gambar saraf optik juga boleh diambil untuk disimpan sebagai rekod dan memantau apa-apa perubahan dari semasa ke semasa. Anak mata anda perlu dikembangkan dengan ubat titis untuk pemeriksaan ini.

Mesin perimetri automatik adalah pemeriksaan piawai untuk menilai medan penglihatan.

Semasa menjalani ujian dengan mesin ini, anda perlu menekan butang setiap kali anda melihat rangsangan cahaya yang keluar dari pelbagai lokasi di medan penglihatan anda: ada beberapa rangsangan cahaya di bahagian tengah medan penglihatan dan beberapa rangsangan cahaya di pinggir medan penglihatan. Rangsangan cahaya yang dikeluarkan mempunyai tahap cerah yang berbeza, dari sangat terang hingga sangat malap. Ia adalah penting untuk memastikan mata anda tidak bergerak ke sana sini dan melihat ke hadapan sahaja sepanjang peperiksaan, dan hanya menekan butang apabila anda melihat rangsangan cahaya.

Ia adalah prosedur yang selesa, tetapi ia akan mengambil masa beberapa minit, dan ia boleh dianggap sebagai prosedur yang membebankan dan/atau membosankan. Walaubagaimanapun, adalah sangat penting untuk anda mengekalkan perhatian anda semasa pemeriksaan keseluruhan dan melaksanakan ujian ini dengan cara yang terbaik, kerana maklumat yang diperolehi adalah penting untuk keputusan rawatan klinikal. Oleh itu, anda harus bertenang dan memberi tumpuan, kerana ini bukan peperiksaan lulus atau gagal, ia hanya untuk memeriksa bagaimana penglihatan mata anda untuk memastikan rawatan yang sesuai diberikan.

Glaukoma dikaitkan dengan kehilangan medan penglihatan, yang perlu dipantau sekurang-kurangnya sekali atau dua kali setahun untuk memastikan jika terdapat sebarang perkembangan penyakit glaukoma. Sebagai pemeriksaan subjektif, keputusan medan visual akan berubah/turun naik, dan mengulangi peperiksaan medan penglihatan dengan mesin perimetri boleh dianggap sebagai prosedur yang biasa digunakan untuk mengesahkan samada penyakit glaukoma semakin teruk.

Sekiranya anda telah dikenalpasti dengan diagnosis glaukoma, anda memerlukan lawatan susulan setiap 3 hingga 12 bulan, bergantung kepada tahap keparahan penyakit, bacaan tekanan mata di bawah rawatan, dan faktor risiko yang lain. Lebih teruk penyakit ini, maka lebih kerap lawatan susulan diperlukan. Sekiranya penyakit itu terkawal dan tidak ada tanda-tanda kemerosotan, lawatan susulan pada jarak yang lebih lama mungkin sudah mencukupi.

Kesimpulannya adalah setiap lawatan susulan yang disyorkan mungkin berbeza-beza, dan harus ditentukan oleh pakar mata anda. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa setiap pesakit glaukoma akan memerlukan lawatan susulan sepanjang hayat.

Setelah dikenalpasti menghidap glaukoma, anda perlu mengulangi ujian medan penglihatan untuk mendapatkan hasil ujian yang akan digunakan sebagai rujukan dasar. Ujian ini juga perlu diulangi dengan lebih kerap sekiranya penyakit glaucoma didapati pada tahap bahaya atau jika tekanan mata anda tidak terkawal.

Selepas dikenalpasti dengan diagnosis glaukoma, semua individu perlu menjalani ujian dokumentasi yang tepat mengenai penampilan urat saraf optik dan status fungsi penglihatan. Ujian medan penglihatan perlu diulang untuk mendapatkan rujukan dasar yang baik dan konsisten. Pemeriksaan ini kemudiannya harus diulang secara berkala untuk membuat perbandingan sekiranya terdapat sebarang perubahan sepanjang lawatan susulan.

Rawatan penyakit glaukoma bertujuan untuk mengawal tekanan di dalam mata dan menghentikan kerosakan saraf mata berterusan. Adalah penting untuk memahami bahawa penyakit glaukoma tidak boleh disembuhkan dan kerosakan yang sudah berlaku kepada saraf mata tidak dapat dibaiki pulih. Namun demikian, rawatan glaukoma berkemungkinan boleh mengekalkan penglihatan yang sedia ada (di bahagian tengah dan tepi medan penglihatan) supaya pesakit tidak akan mengalami kerosakan penglihatan yang lebih teruk.

Terdapat pelbagai jenis rawatan yang boleh ditawarkan. Antaranya ialah:

  1. Ubat titis mata – Rawatan ubat titis mata untuk glaukoma
  2. Ubat makan atau intravena – Rawatan glaukoma sistemik
  3. Laser – Rawatan glaukoma laser
  4. Pembedahan mata – Pembedahan

Ubat titis mata diberikan sebagai rawatan utama untuk kebanyakan jenis glaukoma. Adalah penting untuk memahami bahawa penyakit glaukoma adalah kronik, jadi ubat titis mata ini perlu diambil secara tetap, setiap hari, untuk sepanjang riwayat hidup anda. Penggunaan ubat mata secara konsisten dan tetap dalam jangka masa panjang adalah salah satu faktor yang paling penting dalam rawatan untuk glaukoma. Kegagalan untuk mematuhi jadual rawatan yang konsisten dan tetap boleh mengakibatkan penyakit glaukoma tidak terkawal dan boleh menyebabkan kehilangan penglihatan.

Sebagai cadangan, anda boleh merancang jadual pengambilan ubat titis mata anda semasa menjalani rutin harian, seperti ketika anda bangun pagi, memberus gigi, sebelum atau selepas makan atau sebelum tidur di waktu malam. Anda juga boleh menetapkan peringatan dalam telefon bimbit anda. Sebagai cadangan, selepas mengambil ubat titis mata, anda boleh meletakkan tanda pada kalendar supaya anda ingat bahawa anda telah mengambil ubat tersebut.

Anda perlu memastikan bahawa hanya satu titis sahaja yang diletakkan di dalam mata pada sesuatu masa, tetapi jika anda tidak pasti samada titisan tersebut jatuh masuk ke dalam mata atau tidak, maka anda boleh meletakkan titisan tambahan dengan segera. Untuk memastikan penggunaan ubat titis mata yang terbaik, sila semak pautan berikut. (Bagaimanakah cara penggunaan ubat titis mata?)

Anda disyorkan untuk menyimpan stok ubat titis mata di rumah, dan jangan lupa membawa ubat titis mata anda bersama sekiranya keluar bercuti atau bermalaman di luar rumah. Sebelum anda melawat doktor mata untuk untuk rawatan susulan, pastikan anda menggunakan ubat titis mata anda seperti biasa.

Ubat titis mata berpotensi mengakibatkan kesan sampingan yang kurang elok jika digunakan oleh individu yang menghidap penyakit sistemik/penyakit mata yang tertentu. Sila maklumkan kepada doktor anda jika anda mengalami penyakit seperti asma (lelah), aritmia (degupan jantung tidak teratur), bradikardia (degupan jantung terlalu perlahan), kencing manis, darah tinggi, penyakit tiroid, sakit jantung, sakit sendi, kemurungan dan sebagainya, atau mengambil ubat atau inhaler (ubat sedutan asma) untuk sebarang penyakit lain. Pakar mata anda akan memilih strategi rawatan yang terbaik untuk setiap individu.

Sekiranya rawatan lanjut seperti laser atau pembedahan berjaya mengawal tekanan mata, maka penggunaan ubat titis mata boleh dihentikan mengikut budi bicara doktor.

  1. Basuh tangan anda.
  2. Buka botol dan pegang dengan satu tangan, donggakkan kepala anda dan pandang ke atas.
  3. Dengan menggunakan jari telunjuk tangan yang lagi satu, perlahan-lahan tarik kelopak mata anda ke bawah untuk membentuk poket di kelopak mata.
  4. Titiskan 1 titisan ke dalam poket mata tersebut.
  5. Pastikan hujung botol tidak menyentuh mata anda, jari anda atau permukaan lain
  6. Pengaliran ubat yang berlebihan perlu dihalang dengan tisu kerana sesetengah ubat boleh membahayakan kulit di sekeliling mata.
  7. Bagi mengurangkan penyerapan ubat ke dalam salur darah dan memaksimumkan jumlah ubat yang diserap di mata – tutup mata anda selama 1 minit selepas titisan diletakkan, jangan tutup mata terlalu kuat, dan tekan sudut antara hidung dan kelopak mata anda dengan lembut menggunakan jari telunjuk anda untuk menutup salur air mata yang mengalir ke hidung. Ini juga berfungsi untuk mengurangkan kesan sampingan ubat mata itu.

Peringatan:

Salah satu faktor yang paling penting dalam penggunaan ubat titisan mata untuk glaukoma ialah ketetapan dalam jangka masa panjang. Anda mungkin terlupa untuk meletakkan ubat titis mata sekali-sekala, tetapi kegagalan yang konsisten/berulang untuk mematuhi jadual rawatan ubat titis mata boleh mengakibatkan kawalan glaukoma kurang berkesan dan seterusnya mengakibatkan hilang penglihatan oleh penyakit ini.

Sekiranya anda terlupa meletakkan ubat titis mata anda, adalah lebih baik sekiranya anda terus meletakkan ubat tersebut sebaik sahaja anda teringat mengenainya. Sekiranya dos ubat yang terlupa itu hampir dengan waktu untuk dos seterusnya, anda dinasihatkan meletakkan ubat sekali sahaja mengikut jadual biasa anda.

Terdapat beberapa ubat yang tersedia untuk menurunkan tekanan mata pesakit glaukoma. Oleh kerana ini adalah rawatan sepanjang hayat, adalah penting untuk memilih ubat mata yang tidak mengganggu kualiti hidup pesakit.

Berikut adalah senarai ubat mata yang sering digunakan bersama kesan sampingan yang boleh dialami:

Analog Prostaglandin

Latanoprost, Travoprost, Bimatoprost, Tafluprost

Cara menggunakannya adalah 1 titis sekali sehari pada waktu malam untuk mata yang terlibat. Ia boleh digunakan pada waktu siang mengikut budi bicara doktor.

Kesan sampingan: boleh menyebabkan kemerahan mata (yang mungkin hilang atau pudar dalam jangka masa beberapa minggu), kegelapan warna iris dan kulit di kelopak mata, dan boleh menyebabkan bola mata kelihatan lebih tenggelam di dalam soket mata, akibat pengurangan lemak di keliling bola mata. Ia juga boleh menyebabkan bulu mata bertambah panjang.


Beta Blockers

Timolol, Betaxolol, Levobunolol

Dos: satu titis dua kali sehari (seperti 7 pagi – 7 malam). Terdapat juga ubat jenis sama yang hanya memerlukan satu dos sekali sehari sahaja (wakt pagi)
Kesan Sampingan: Boleh menyebabkan penyakit paru-paru bertambah teruk (seperti asma, penyakit saluran udara obstruktif kronik), boleh menurunkan tekanan darah dan nadi, boleh menyebabkan pening dan kesukaran tidur dan juga kemurungan (tidak kerap), mati pucuk dan penurunan libido. Boleh menghalang pesakit diabetes mengalami gejala kekurangan gula dalam darah (hypoglycaemia) dan mengubah profil lipid.


Agonis adrenergik alfa

Brimonidine

Dos: satu titis tiga kali sehari jika digunakan sendiri dan dua kali sehari jika digabungkan dengan ubat mata glaukoma yang lain.

Kesan sampingan: boleh menyebabkan reaksi alahan dan gatal di mata, dan boleh menyebabkan rasa mengantuk dan tekanan darah rendah. Ia harus elak digunakan untuk kanak-kanak (di bawah umur 6 tahun) kerana boleh menyebabkan rasa mengantuk dan kadar pernafasan rendah (kesukaran bernafas)


Perencat karbonik anhydrase

Brinzolamide; Dorzolamide

Dos: Digunakan tiga kali sehari jika digunakan bersendirian dan dua kali sehari jika digabungkan dengan ubat mata glaukoma yang lain.

Kesan sampingan: Boleh menyebabkan sensasi yang pedih di mata dan rasa pahit di dalam mulut. Jika tekanan mata sangat tinggi, ubat makan atau pil (Acetazolamide) juga boleh diberikan untuk jangka masa pendek untuk mengawal tekanan mata, sementara menunggu masa yang sesuai untuk rawatan laser atau pembedahan dilakukan.

Penggunaan pil acetazolamide sering menyebabkan rasa semut-semut atau kebas di tangan, deria rasa berubah, rasa senak, mual, muntah dan ruam keluar di kulit. Pesakit digalakkan mengambil makanan yang kaya dengan kalium (potassium) (iaitu jus oren, pisang, air kelapa) untuk mengurangkan kesan sampingan. Dalam beberapa kes tertentu, pil kalium (potassium) boleh diberikan. Ubat ini tidak boleh digunakan oleh pesakit ‘sickle’ sel anaemia (terutamanya untuk ubat pil). Ubat ini juga harus dielakkan oleh pesakit yang mempunyai alahan kepada ubat yang mengandungi sulpha. Penggunaan ubat ini harus dibincang bersama doktor pakar mata anda.


Miotics

Contoh untuk kelas ubat ini ialah Pilocarpine. Ia berfungsi dengan meningkatkan aliran keluar cecair di dalam mata. Ia adalah ubat yang sangat popular pada masa dahulu, tetapi kini telah digantikan oleh ubat lain kerana kesan sampingan yang banyak. Ia masih digunakan dalam beberapa situasi seperti glaukoma sudut tertutup atau rawatan sebelum laser.
Kesan sampingan termasuk: rasa sakit di keliling mata, sakit kabala, anak mata menjadi kecil (miosis), penglihatan kabur, dan penglihatan yang kurang dalam keadaan cahaya yang malap. Kesan sampingan sistemik (tetapi jarang berlaku) termasuklah peningkatan pengeluaran air liur dan peluh.


Ubat Gabungan

Terdapat produk yang menggabungkan dua ubat dalam satu botol. Ini sangat berguna untuk pesakit yang memerlukan dua jenis ubat untuk mengawal penyakit glaukoma. Kombinasi yang ada termasuk:

Ubat gabungan ini sangat popular, kerana ramai pesakit dengan glaukoma memerlukan sekurang-kurangnya dua ubat untuk mengawal penyakit.

Perencat karbonic anhydrase

Acetozolamide

Dos: Digunakan sehingga 4 pil sehari.

Kesan sampingan: Penggunaan pil acetazolamide boleh menyebabkan rasa semut-semut atau kebas di tangan, deria rasa berubah, rasa senak, mual, muntah dan ruam keluar di kulit. Pesakit digalakkan mengambil makanan yang kaya dengan kalium (potassium) (iaitu jus oren, pisang, air kelapa) untuk mengurangkan kesan sampingan. Dalam sesetengah kes, tablet tambahan kalium boleh diberi oleh doktor anda .

Kontra Indikasi: Tidak boleh digunakan oleh pesakit dengan ‘sickle’ sel anemia (terutamanya untuk ubat pil). Tidak boleh digunakan langsung/atau digunakan dengan berhati-hati pada pesakit dengan fungsi buah pinggang yang lemah, atau sejarah batu karang buah pinggang (renal calculi) atau batu karang pundi hempedu (batu empedu). Ubat ini juga harus dielakkan oleh pesakit yang mempunyai alahan kepada ubat yang mempunyai sulfa. Penggunaan ubat ini harus dibincang bersama doktor pakar mata anda.


Ejen hyperosmotic

Mannitol

Dos: biasanya digunakan sekali sahaja untuk serangan glaukoma sudut tertutup akut dan indikasi lain untuk kegunaan pesakit di dalam hospital.

Kesan sampingan: Penggunaan mannitol secara intravena boleh menarik air dari tisu badan ke dalam salur darah, dan boleh menyebabkan banyak kesan sampingan sistemik, seperti sakit kepala, dehidrasi, mual, cirit-birit, muntah, mulut kering, dahaga, penglihatan kabur, muntah, menggigil, pening, tekanan darah rendah (hipotensi), ruam kulit, denyutan jantung tidak teratur, ketidakseimbangan elektrolit dan sebagainya.

Kontra indikasi: Tidak boleh digunakan untuk pesakit dengan fungsi buah pinggang yang lemah, atau jantung yang lemah, dan keadaan sistemik tertentu yang lain.

Gliserol: juga boleh digunakan untuk glaukoma sudut tertutup akut. Gliserol adalah cecair gula yang diminum, dan seperti manitol, mungkin juga menyebabkan banyak kesan sampingan sistemik. Khususnya, ubat ini harus dielakkan oleh pesakit kencing manis.

Laser adalah rawatan pilihan bagi glaukoma sudut tertutup. Ada beberapa jenis laser lain yang boleh dilakukan untuk glaukoma sudut terbuka juga. Laser boleh dilakukan sebagai prosidur pesakit luar. Ia hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan boleh digunakan untuk mengurangkan tekanan mata.

Prosidur laser berikut biasanya digunakan dalam rawatan untuk glaucoma:

Prosedur ini sering disyorkan untuk mata pesakit yang mempunyai sudut tertutup di mana terdapat sekatan cecair dalam mata dari ruang belakang iris mengalir ke ruang hadapan iris pada tahap anak mata. (Glaukoma sudut tertutup).

Untuk prosidur ini, satu lubang atau pembukaan dibuat di iris dengan mesin laser untuk membenarkan cecair mengalir dari dari ruang belakang iris ke ruang hadapan iris. Prosedur ini dilakukan kepada mata yang mempunyai ciri-ciri sudut tertutup untuk mencegah penutupan sudut mata berlaku dan juga sebagai rawatan jika pesakit mengalami serangan akut sudut mata tertutup.

Prosedur ini menggunakan laser untuk menyasarkan jaring trabekular (trabecular meshwork) dan bertujuan untuk mengubah liang/ruang dalam jaring trabekular (trabecular meshwork) dan meningkatkan aliran keluar cecair di dalam mata dan dengan itu mengurangkan tekanan mata. Ini dilakukan untuk glaukoma jenis sudut terbuka.

Adalah penting untuk dimaklumkan bahawa prosedur ini tidak selalu berkesan, dan ia mungkin berfungsi untuk jangka waktu tertentu (beberapa tahun). Apabila rawatan ini berkesan, pengurangan tekanan mata yang dihasilkan adalah pada tahap sederhana atau minima sahaja.

Terdapat beberapa jenis laser untuk rawatan trabekuloplasti, termasuk “Argon” atau “Laser selektif trabekuloplasti”.
Selepas prosidur laser, pesakit perlu mengekalkan rawatan susulan yang berkala, dan mungkin masih memerlukan ubat titis mata atau pembedahan mata.

Prosedur laser ini bertujuan untuk mengurangkan pengeluaran cecair dengan merawat bahagian struktur mata yang terletak di pangkal iris yang bertanggungjawab untuk menghasilkan cecair di dalam mata.

Dalam kebanyakan kes, prosidur ini dikhaskan untuk mata yang menghidapi glaukoma pada tahap sangat lanjut, yang telah mengalami peningkatan tekanan mata walaupun dengan rawatan perubatan atau pelbagai pembedahan. Ia juga dijalankan untuk mata yang sudah buta tetapi merasa sakit. Penggunaan terhad prosidur ini disebabkan oleh kemungkinan tekanan mata menjadi terlalu rendah dan bola mata menjadi kecut.

Terdapat pendekatan baru teknik ini yang sekarang di bawah penilaian. Ia dilakukan pada mata dengan glaukoma pada tahap kurang lanjut, terutama yang menggunakan teknik endoskopi (endocyclophotocoagulation) atau peranti laser baru (micropulse).

Kegagalan ubat titis dan pembedahan laser untuk mengawal tekanan mata dan seterusnya kerosakan saraf akibat glaukoma, adalah indikasi untuk pembedahan. Pembedahan juga boleh dilakukan jika pesakit mempunyai alahan terhadap ubat titis, tidak patuh kepada rejim penggunaan ubat atau penyakit glaukoma terus merosot meskipun dengan pelbagai rawatan. Penyakit yang sudah lanjut dan beberapa kes lain juga adalah indikasi untuk pembedahan. Pakar oftalmologi akan berbincang tentang pilihan rawatan terbaik untuk pesakit.

Dalam pembedahan glaucoma ini, satu lubang saliran kecil (fistula) dibuat untuk mengalirkan cecair dari dalam mata ke bahagian luar mata, dengan itu mengurangkan tekanan di dalam mata. Ini adalah pembedahan yang paling biasa dilakukan untuk glaukoma, dan dikenali sebagai trabekulektomi.

Dalam teknik pembedahan ini, lubang fistula dibuat pada lapisan luar bola mata pada persimpangan antara kornea dan sklera. Ia dilakukan untuk membolehkan pengaliran cecair dari dalam mata mengalir keluar melalui saluran alternatif yang baru. Cecair di dalam mata disalurkan melalui lubang kecil fistula ini ke takungan di bawah kulit lapisan luar mata (ruang sub-Tenon / sub-konjunctival) yang dipanggil ‘bleb penapisan’. Ada jahitan yang juga diletakkan bertujuan untuk mengawal aliran cecair yang keluar dari fistula. Cecair ini kemudian diserap melalui kapilari darah di keliling mata. Pembedahan biasanya dilakukan di bahagian atas bola mata yang terletak di bawah kelopak mata.

Selepas pembedahan, satu lepuh/parut berwarna putih kecil boleh dilihat di bahagian atas mata dan ini dipanggil ‘bleb’. Dalam kebanyakan kes, bleb tetap dilindungi oleh kelopak mata yang atas dan tidak boleh dilihat kecuali kelopak mata dinaikkan ke atas.

Beberapa komplikasi serius boleh berlaku selepas pembedahan trabekulektomi, seperti kehilangan penglihatan, katarak (selaput atau kekaburan kanta di dalam mata), jangkitan kuman, kelopak mata menjadi rendah, mata merasa kurang selesa dan sebagainya.

Sifat semulajadi penyembuhan badan manusia akan cuba menutup lubang trabekuletomi (juga dikenali sebagai fistula) yang dibuat oleh doktor pakar semasa pembedahan. Doktor pakar anda akan berusaha untuk memodulasi proses penyembuhan mata dan mengekalkan saliran melalui fistula untuk tempoh yang berterusan. Tempoh rawatan susulan selepas pembedahan adalah sangat penting untuk mengurangkan komplikasi berlaku dan mengurangkan kemungkinan berlaku kegagalan pembedahan. Pesakit perlu sentiasa mengikuti tarikh temujanji klinik yang ditetapkan oleh doktor pakar terutama pada tempoh awal selepas pembedahan.

Pembedahan ini adalah selesa / tidak memudaratkan untuk kebanyakan pesakit, dan berkesan untuk menurunkan tekanan mata untuk jangka masa yang lama. Kejayaan pembedahan ini bergantung kepada beberapa faktor, termasuk umur pesakit, jenis glaukoma, jangka masa penggunaan ubat-ubatan topikal, samada pernah menjalani prosedur pembedahan terdahulu, dan lain-lain. Doktor Pakar Oftalmologi anda boleh berbincang tentang kebarangkalian pembedahan ini akan berjaya untuk anda.

Jika pada bila-bila masa selepas pembedahan, pesakit mendapati mata menjadi semakin merah, terasa sakit, terasa silau atau sensitif terhadap cahaya atau tiba-tiba kehilangan penglihatan terus – beliau haruslah melaporkan diri dengan kadar segera kepada pakar mata kerana ini boleh disebabkan oleh jangkitan kuman di dalam mata. Walaupun komplikasi ini jarang berlaku, sebarang jangkitan di dalam mata (endophthalmitis) boleh membawa kepada kehilangan tetap penglihatan mata jika tidak dirawat dengan segera. Penggunaan antibiotik harus dimulakan secepat mungkin, dan rawatan lain (seperti suntikan ubat ke dalam bola mata ataupun pembedahan mata) mungkin akan diperlukan untuk jangkitan yang lebih serius.

Jangkitan selaput di bahagian luar mata (conjunctivitis) disebabkan oleh kuman bakteria. Ciri-ciri jangkitan ini adalah discaj berwarna kuning/hijau dari kelopak mata terutama sewaktu bangun dari tidur. Walaupun jarang berlaku selepas menjalani pembedahan trabekulektomi, jangkitan seperti ini merbahaya kerana boleh merebak ke dalam mata. Rawatan yang cepat dengan ubat titis antibiotik adalah penting untuk mencegah komplikasi yang berpotensi menjadi serius ini.

Jenis pembedahan yang lain termasuk pembedahan implan – implan ini terdiri daripada tiub silikon, yang disambungkan kepada plat penyaliran. Tiub dimasukkan ke bahagian depan anak mata di dalam mata dan plat saliran dijahit ke sklera. Cecair di dalam mata akan dikumpulkan di dalam plat penyaliran, di bawah konjunktiva, dan diserap oleh tisu sekitarnya.

Antara komplikasi yang boleh terjadi termasuk kekaburan kornea dan hakisan tiub melalui konjunktiva. Sekiranya komplikasi ini berlaku, pesakit perlu mendapatkan rawatan doctor pakar mata secepat mungkin.

Beberapa teknik pembedahan mikro baru untuk glaukoma, sering dirujuk sebagai MIGS (Pembedahan Glaucoma Minima), kini digunakan di beberapa insitusi di luar negara. Ia mungkin berguna untuk pesakit individu bergantung kepada jenis glaukoma dan peringkat penyakit glaukoma. Teknik terbaru ini termasuklah peranti seperti Istent, CyPass, Hydrus, Xen dan lain lain lagi. Peranti-peranti baru ini masih dalam penilaian kritikal dan keputusan jangka panjang masih belum diketahui.

Baru-baru ini, pada tahun 2018, salah satu peranti baru ini (Cypass) secara sukarela dikeluarkan dari pasaran (ditarik balik) oleh syarikat pengilangnya. Ini kerana kajian selepas kelulusan penggunaan peralatan ini menunjukkan bahawa pesakit yang mempunyai peranti adalah berisiko kehilangan sel kornea. Siasatan lanjut akan dilakukan untuk menentukan profil keselamatannya. Ini akan menentukan samada peranti ini akan kembali ke pasaran pada masa akan datang.

Episod ini menunjukkan contoh bagaimana agensi pengawalseliaan, pengeluar, doktor dan pesakit di seluruh dunia harus sentiasa memantau risiko /manfaat prosedur rawatan yang berbeza, terutamanya yang baru keluar di pasaran.

Katarak adalah keadaaan di mana kanta mata yang jernih menjadi keruh. Ia terjadi akibat dari proses peningkatan usia. Jika dibiarkan ia akan boleh menyebabkan pengurangan tahap penglihatan. Glaukoma dan katarak boleh wujud bersama dalam satu mata. Katarak boleh dirawat dengan pembedahan. Semasa pembedahan, kanta mata yang keruh itu dikeluarkan dan diganti dengan implant intraokular (IOL). Sekiranya tidak ada masalah penglihatan lain, penglihatan akan pulih sepenuhnya selepas pembedahan.

Pesakit glaukoma perlu menjalani penilaian individu yang komprehensif untuk menentukan strategi pembedahan yang terbaik. Glaukoma yang berada di tahap serius atau tekanan mata tinggi yang tidak terkawal oleh rawatan perubatan / laser harus dinilai untuk pembedahan gabungan glaukoma dan katarak .

Glaukoma juga boleh disebabkan oleh masalah kanta, contohnya yang berlaku jika kanta mata tersisih dari kedudukan normalnya (Glaukoma Phacotopik); ATAU apabila kanta menjadi terlalu tebal dan membengkak (Glaukoma Phacomorfik); ATAU apabila katarak menjadi terlalu matang/masak dan berlaku kebocoran dari kapsul lensa. Senario terakhir ini menyebabkan glaukoma terjadi akibat keradangan atau pemendapan protein lensa dalam jaringan trabekular (Glaukoma phakolitik).

Kehadiran kanta yang besar dalam mata yang kecil, atau kanta yang terletak lebih ke hadapan di dalam ruang mata dapat menerangkan mekanisme untuk glaukoma sudut tertutup.

Malangnya ubat, laser atau pembedahan glaukoma tidak dapat memulihkan penglihatan anda yang sudah rosak tetapi dapat mencegah kerosakan penglihatan itu berterusan.

Bolehkah transplantasi stem sel dilakukan untuk memperbaiki saraf optik yang rosak dalam glaukoma?

Perkara ini adalah masih di peringkat penyelidikan dan eksperimen. Sehingga kini rawatan ini tidak boleh didapati/tersedia untuk pesakit glaukoma. Walau bagaimanapun, terdapat penyelidikan yang serius dalam hal ini dan diharapkan berita baik akan timbul pada masa akan datang.

Pesakit glaukoma sering bertanya tentang kelayakan mereka menjalani pembedahan refraktif, seperti LASIK atau PRK, dan lain-lain.

Walaupun tidak ada persetujuan di kalangan pakar mata mengenai siapa yang harus atau tidak harus menjalani pembedahan refraktif, ramai doktor bersetuju bahawa pesakit yang mempunyai glaukoma tahap serius harus mengelakkan prosedur ini. Pembedahan refraktif boleh membuat pengukuran tekanan mata kurang tepat.

Bagi mereka yang tidak mempunyai diagnosis glaukoma, kami mengesyorkan melawat pakar glaukoma sebelum menjalani prosedur ini jika anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap glaukoma (terutama kes-kes yang menyebabkan kebutaan dalam keluarga) ATAU jika anda dianggap sebagai ‘suspek glaukoma’, ATAU mempunyai gabungan beberapa faktor risiko berkaitan dengan penyakit glaukoma. (Siapakah yang perlu diperiksa untuk glaukoma?)

Pesakit glaukoma yang mengalami masalah penglihatan mempunyai peningkatan risiko kemalangan dengan kenderaan bermotor. Walaupun medan penglihatan di tengah masih elok sehingga tahap lanjut, penyakit glaukoma boleh menjejaskan medan penglihatan di sempadan tepi pada peringkat awal hingga sederhana penyakit. Pesakit glaukoma biasanya mengeluh tentang silau, penglihatan malam yang lemah dan kepekaan kontras yang rendah. Begitu juga dengan penglihatan yang agak malap apabila beralih dari kawasan yang bercahaya terang ke gelap (contohnya ketika memasuki terowong).

Adalah disyorkan pesakit glaukoma yang mengalami kehilangan medan visual yang sederhana untuk mengelakkan atau berhenti memandu terutamanya dalam keadaan yang lebih sukar seperti pada waktu malam dan di bawah keadaan kabus. Penggunaan pengangkutan awam adalah digalakkan. Anda perlu berunding dengan doktor anda tentang isu ini dan mengkaji undang-undang pihak berkuasa tempatan tentang peraturan memandu di negara anda.

Adalah penting untuk memahami bahawa penggunaan sebarang ubat titis mata untuk glaukoma oleh ibu akan diserap ke dalam salur darah dan ia boleh menjejaskan janin; malah terdapat juga ubat-ubatan yang boleh meresap ke dalam susu ibu bagi yang menyusu. Semua ubat glaukoma mempunyai risiko kepada janin terutama pada peringkat trimester pertama kehamilan. Sekiranya anda menghidapi glaukoma dan merancang untuk berkeluarga, sila berjumpa dengan doktor mata anda bagi mendapatkan nasihat.

Pesakit yang mengalami pengurangan penglihatan secara berterusan akibat glaukoma akan mengalami tekanan perasaan yang amat berat. Menjaga keperluan pesakit adalah satu cabaran bukan sahaja kepada doktor malah ahli keluarga juga. Namun demikian, ahli keluarga dapat membantu pesakit dalam pelbagai cara. Antaranya:

  1. Menyusun barang-barang di rumah mengikut penggunaan seharian pesakit agar mudah dijumpai dan dikenal pasti oleh pesakit. Contohnya menggunakan label berwarna terang untuk barang-barang yang penting.
  2. Mengeluarkan barang-barang yang boleh mendatangkan kecederaan kepada pesakit apabila tersandung seperti bangku kecil, kaki meja, wayar yang terdedah dan sebagainya.
  3. Memasukkan nombor telefon penting seperti polis, ambulans, bomba dan lain-lain di dalam telefon yang boleh disambung dengan menggunakan pengaktifan suara.
  4. Menggunakan jalur getah yang berlainan warna di keliling pelbagai jenis ubat supaya mudah dikenal pasti.
  5. Menambahkan lebih banyak lampu di rumah supaya mendapat suasana yang lebih terang dan dapat menyenangkan pergerakan pesakit di kawasan rumah.
  6. Membuat senarai dan masa pengambilan ubat-ubatan di dalam dompet atau simpan penggera di telefon bimbit anda untuk mengingatkan pesakit menggunakan ubat titis mata pada waktu yang ditetapkan.
  7. Membantu pesakit dengan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan mata.
  8. Selain dari semua diatas, adalah penting untuk memberi sokongan moral kepada pesakit dan mendorong pemulihan dikalangan masyarakat dengan mengadakan latihan vokasional bagi mengatasi kekurangan upaya pesakit.
  9. Memastikan semua ahli keluarga menjalani pemeriksaan saringan glaukoma.
  10. Menyebarkan mesej pemeriksaan saringan glaukoma kepada masyarakat.

Selepas pemeriksaan yang oleh pakar profesional yang khusus dalam bidang menyediakan perkhidmatan untuk pesakit penglihatan tahap rendah (Low visual Aid), bantuan berikut boleh diberikan kepada pesakit:

  1. Peranti dengan huruf dan nombor yang besar: Kini terdapat pelbagai peranti yang dihasilkan untuk membantu pesakit kurang upaya penglihatan. Antaranya ialah jam tangan, jam, telefon, kalendar, surat khabar dengan cetakan besar.
  2. Pengubahsuaian komputer: Huruf abjad pada skrin komputer boleh diubah suai dengan meningkatkan saiz dan kontras untuk membantu penglihatan.
  3. Penambahbaikan Audio: Terdapat juga peranti yang boleh berinteraksi secara audio seperti buku, kalendar, kalkulator dan sebagainya. Komputer juga mempunyai alat bantuan audio dan program pemahaman pertuturan yang boleh menukarkan perkataan yang diucapkan kepada format teks dalam komputer.
  4. Selain dari itu, alat bantuan penglihatan yang boleh didapati dengan preskripsi ialah kanta pembesar (dengan atau tanpa) cahaya, cermin mata yang dipasang teleskop, kanta pembesar yang menggunakan CCTV dan sebagainya.
World Glaucoma Association

Pesanan penting untuk pesakit glaukoma

Adalah amat penting bagi anda untuk menjalani pemeriksaan glaukoma secara berkala. Sekiranya anda didapati menghidap glaukoma, pilihan rawatan yang berkesan kini tersedia dan rawatan dan pemeriksaan lanjut secara berkala dapat membantu anda mengekalkan penglihatan sepanjang hayat anda, di samping mengelakkan perasaan takut akan menjadi buta.

Anda boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan glaukoma dan menikmati kualiti hidup yang sangat baik, terutamanya jika penyakit ini dikesan lebih awal dan dirawat tepat pada waktunya. Sentiasa ingat bahawa setelah anda menghidap glaukoma, anda mesti berada di bawah jagaan doktor mata sepanjang hayat anda. Terdapat banyak penyelidikan yang sedang dijalankan di masa ini dan rawatan baru untuk glaukoma mungkin akan didapati dalam masa terdekat.

World Glaucoma Association

www.worldglaucoma.org
WGA Facebook
WGA Twitter

World Glaucoma Congress

www.worldglaucomacongress.org

WGA.ONE

www.wga.one

International Glaucoma Review

www.e-igr.com

World Glaucoma Week

www.worldglaucomaweek.org