Secara amnya, semua individu berumur 35 -40 tahun perlu menjalani pemeriksaan mata termasuk pemeriksaan tekanan mata dan saraf optik. Pemeriksaan perlu dilakukan setiap 2-3 tahun kepada individu yang berusia 40 tahun ke atas dan setiap 1-2 tahun kepada individu yang berumur 60 tahun ke atas. Jarak waktu pemeriksaan yang sesuai mungkin berbeza bagi setiap individu. Sila berbincang dengan pakar mata anda.
Semua individu yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit glaukoma perlu menjalani pemeriksaan mata yang menyeluruh dan mengekalkan pemeriksaan mata susulan pada jangka masa yang sesuai. Tidak semestinya semua adik-beradik akan menghidap penyakit glaukoma, tetapi risiko untuk menghidapi glaukoma adalah 10 kali lebih berbanding individu biasa.
Pesakit kencing manis dan darah tinggi juga memerlukan pemeriksaan mata yang kerap untuk mengesan penyakit glaukoma.
Semasa menjalankan pemeriksan mata, doktor mata anda mungkin boleh mengenal pasti risiko anda untuk glaukoma, seperti: (i) cornea nipis, (ii) rabun dekat atau rabun jauh (iii) tekanan mata melebihi 22 mmHg, atau (iv) mempunyai sudut mata yang sempit atau ruang sempit dibahagian depan mata. Faktor ini boleh meningkatkan risiko glaukoma anda dan dengan itu menimbulkan keperluan rawatan susulan. Individu yang berketurunan Afrika mungkin mengalami risiko yang lebih tinggi untuk glaukoma sudut terbuka, dan mereka yang berketurunan Cina mungkin ada risiko yang lebih tinggi untuk glaukoma sudut tertutup.
Adalah amat penting bagi anda untuk menjalani pemeriksaan glaukoma secara berkala. Sekiranya anda didapati menghidap glaukoma, pilihan rawatan yang berkesan kini tersedia dan rawatan dan pemeriksaan lanjut secara berkala dapat membantu anda mengekalkan penglihatan sepanjang hayat anda, di samping mengelakkan perasaan takut akan menjadi buta.
Anda boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan glaukoma dan menikmati kualiti hidup yang sangat baik, terutamanya jika penyakit ini dikesan lebih awal dan dirawat tepat pada waktunya. Sentiasa ingat bahawa setelah anda menghidap glaukoma, anda mesti berada di bawah jagaan doktor mata sepanjang hayat anda. Terdapat banyak penyelidikan yang sedang dijalankan di masa ini dan rawatan baru untuk glaukoma mungkin akan didapati dalam masa terdekat.