Katarak adalah keadaaan di mana kanta mata yang jernih menjadi keruh. Ia terjadi akibat dari proses peningkatan usia. Jika dibiarkan ia akan boleh menyebabkan pengurangan tahap penglihatan. Glaukoma dan katarak boleh wujud bersama dalam satu mata. Katarak boleh dirawat dengan pembedahan. Semasa pembedahan, kanta mata yang keruh itu dikeluarkan dan diganti dengan implant intraokular (IOL). Sekiranya tidak ada masalah penglihatan lain, penglihatan akan pulih sepenuhnya selepas pembedahan.
Pesakit glaukoma perlu menjalani penilaian individu yang komprehensif untuk menentukan strategi pembedahan yang terbaik. Glaukoma yang berada di tahap serius atau tekanan mata tinggi yang tidak terkawal oleh rawatan perubatan / laser harus dinilai untuk pembedahan gabungan glaukoma dan katarak .
Glaukoma juga boleh disebabkan oleh masalah kanta, contohnya yang berlaku jika kanta mata tersisih dari kedudukan normalnya (Glaukoma Phacotopik); ATAU apabila kanta menjadi terlalu tebal dan membengkak (Glaukoma Phacomorfik); ATAU apabila katarak menjadi terlalu matang/masak dan berlaku kebocoran dari kapsul lensa. Senario terakhir ini menyebabkan glaukoma terjadi akibat keradangan atau pemendapan protein lensa dalam jaringan trabekular (Glaukoma phakolitik).
Kehadiran kanta yang besar dalam mata yang kecil, atau kanta yang terletak lebih ke hadapan di dalam ruang mata dapat menerangkan mekanisme untuk glaukoma sudut tertutup.