Tujuan pembedahan glaukoma ialah menurunkan tekanan mata.
Dengan menurunkan tekanan di dalam mata, ianya mampu untuk memelihara penglihatan mata. Namun begitu, dalam segelintir pesakit, walaupun pembedahan berjaya dari segi menurunkan tekanan mata, penglihatan masih boleh terus merosot.
Selepas pembedahan glaukoma, pesakit mungkin mengalami penglihatan kabur yang bertahan sehingga 3-4 minggu. Selalunya ia disebabkan oleh penggunaan beberapa ubat titis mata dan juga jahitan pada kornea yang boleh menyebabkan masalah silau. Biasanya selepas tempoh ini, penglihatan akan kembali ke tahap sebelum pembedahan.
Dalam kebanyakan kes, pembedahan adalah berkesan untuk mengurangkan tekanan mata ke tahap sasaran yang dikehendaki. Walaubagaimanapun dalam beberapa kes yang lain, ubat tambahan mungkin diperlukan untuk mencapai tahap tekanan mata yang menepati sasaran. Dalam jangka masa panjang, tekanan mata boleh meningkat lagi dan penggunaan ubat titis untuk mengurangkan tekanan mata perlu dimulakan kembali atau ditambah atau pembedahan lain diperlukan lagi.
Ubat titis untuk menghalang radang dan antibiotik biasanya diperlukan untuk beberapa bulan selepas prosedur pembedahan.
Dalam tempoh awal selepas pembedahan, adalah penting untuk pesakit mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti fizikal yang berat.
Secara lazimnya selepas setiap prosedur pembedahan, kemungkinan komplikasi (ringan atau teruk) boleh berlaku. Pakar bedah mata anda akan berbincang dengan anda tentang risiko anda dalam hal ini.
Oleh kerana kemungkinan komplikasi boleh berlaku, indikasi untuk pembedahan glaukoma perlu dipertimbangkan dengan berhati-hati. Bagaimanapun, apabila ia ditentukan perlu dijalankan, ia tidak sepatutnya ditangguhkan.
Adalah amat penting bagi anda untuk menjalani pemeriksaan glaukoma secara berkala. Sekiranya anda didapati menghidap glaukoma, pilihan rawatan yang berkesan kini tersedia dan rawatan dan pemeriksaan lanjut secara berkala dapat membantu anda mengekalkan penglihatan sepanjang hayat anda, di samping mengelakkan perasaan takut akan menjadi buta.
Anda boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan glaukoma dan menikmati kualiti hidup yang sangat baik, terutamanya jika penyakit ini dikesan lebih awal dan dirawat tepat pada waktunya. Sentiasa ingat bahawa setelah anda menghidap glaukoma, anda mesti berada di bawah jagaan doktor mata sepanjang hayat anda. Terdapat banyak penyelidikan yang sedang dijalankan di masa ini dan rawatan baru untuk glaukoma mungkin akan didapati dalam masa terdekat.