Beberapa komplikasi serius boleh berlaku selepas pembedahan trabekulektomi, seperti kehilangan penglihatan, katarak (selaput atau kekaburan kanta di dalam mata), jangkitan kuman, kelopak mata menjadi rendah, mata merasa kurang selesa dan sebagainya.
Sifat semulajadi penyembuhan badan manusia akan cuba menutup lubang trabekuletomi (juga dikenali sebagai fistula) yang dibuat oleh doktor pakar semasa pembedahan. Doktor pakar anda akan berusaha untuk memodulasi proses penyembuhan mata dan mengekalkan saliran melalui fistula untuk tempoh yang berterusan. Tempoh rawatan susulan selepas pembedahan adalah sangat penting untuk mengurangkan komplikasi berlaku dan mengurangkan kemungkinan berlaku kegagalan pembedahan. Pesakit perlu sentiasa mengikuti tarikh temujanji klinik yang ditetapkan oleh doktor pakar terutama pada tempoh awal selepas pembedahan.
Pembedahan ini adalah selesa / tidak memudaratkan untuk kebanyakan pesakit, dan berkesan untuk menurunkan tekanan mata untuk jangka masa yang lama. Kejayaan pembedahan ini bergantung kepada beberapa faktor, termasuk umur pesakit, jenis glaukoma, jangka masa penggunaan ubat-ubatan topikal, samada pernah menjalani prosedur pembedahan terdahulu, dan lain-lain. Doktor Pakar Oftalmologi anda boleh berbincang tentang kebarangkalian pembedahan ini akan berjaya untuk anda.
Jika pada bila-bila masa selepas pembedahan, pesakit mendapati mata menjadi semakin merah, terasa sakit, terasa silau atau sensitif terhadap cahaya atau tiba-tiba kehilangan penglihatan terus – beliau haruslah melaporkan diri dengan kadar segera kepada pakar mata kerana ini boleh disebabkan oleh jangkitan kuman di dalam mata. Walaupun komplikasi ini jarang berlaku, sebarang jangkitan di dalam mata (endophthalmitis) boleh membawa kepada kehilangan tetap penglihatan mata jika tidak dirawat dengan segera. Penggunaan antibiotik harus dimulakan secepat mungkin, dan rawatan lain (seperti suntikan ubat ke dalam bola mata ataupun pembedahan mata) mungkin akan diperlukan untuk jangkitan yang lebih serius.
Jangkitan selaput di bahagian luar mata (conjunctivitis) disebabkan oleh kuman bakteria. Ciri-ciri jangkitan ini adalah discaj berwarna kuning/hijau dari kelopak mata terutama sewaktu bangun dari tidur. Walaupun jarang berlaku selepas menjalani pembedahan trabekulektomi, jangkitan seperti ini merbahaya kerana boleh merebak ke dalam mata. Rawatan yang cepat dengan ubat titis antibiotik adalah penting untuk mencegah komplikasi yang berpotensi menjadi serius ini.