Rawatan ubat titis mata untuk glaukoma

Ubat titis mata diberikan sebagai rawatan utama untuk kebanyakan jenis glaukoma. Adalah penting untuk memahami bahawa penyakit glaukoma adalah kronik, jadi ubat titis mata ini perlu diambil secara tetap, setiap hari, untuk sepanjang riwayat hidup anda. Penggunaan ubat mata secara konsisten dan tetap dalam jangka masa panjang adalah salah satu faktor yang paling penting dalam rawatan untuk glaukoma. Kegagalan untuk mematuhi jadual rawatan yang konsisten dan tetap boleh mengakibatkan penyakit glaukoma tidak terkawal dan boleh menyebabkan kehilangan penglihatan.

Sebagai cadangan, anda boleh merancang jadual pengambilan ubat titis mata anda semasa menjalani rutin harian, seperti ketika anda bangun pagi, memberus gigi, sebelum atau selepas makan atau sebelum tidur di waktu malam. Anda juga boleh menetapkan peringatan dalam telefon bimbit anda. Sebagai cadangan, selepas mengambil ubat titis mata, anda boleh meletakkan tanda pada kalendar supaya anda ingat bahawa anda telah mengambil ubat tersebut.

Anda perlu memastikan bahawa hanya satu titis sahaja yang diletakkan di dalam mata pada sesuatu masa, tetapi jika anda tidak pasti samada titisan tersebut jatuh masuk ke dalam mata atau tidak, maka anda boleh meletakkan titisan tambahan dengan segera. Untuk memastikan penggunaan ubat titis mata yang terbaik, sila semak pautan berikut. (Bagaimanakah cara penggunaan ubat titis mata?)

Anda disyorkan untuk menyimpan stok ubat titis mata di rumah, dan jangan lupa membawa ubat titis mata anda bersama sekiranya keluar bercuti atau bermalaman di luar rumah. Sebelum anda melawat doktor mata untuk untuk rawatan susulan, pastikan anda menggunakan ubat titis mata anda seperti biasa.

Ubat titis mata berpotensi mengakibatkan kesan sampingan yang kurang elok jika digunakan oleh individu yang menghidap penyakit sistemik/penyakit mata yang tertentu. Sila maklumkan kepada doktor anda jika anda mengalami penyakit seperti asma (lelah), aritmia (degupan jantung tidak teratur), bradikardia (degupan jantung terlalu perlahan), kencing manis, darah tinggi, penyakit tiroid, sakit jantung, sakit sendi, kemurungan dan sebagainya, atau mengambil ubat atau inhaler (ubat sedutan asma) untuk sebarang penyakit lain. Pakar mata anda akan memilih strategi rawatan yang terbaik untuk setiap individu.

Sekiranya rawatan lanjut seperti laser atau pembedahan berjaya mengawal tekanan mata, maka penggunaan ubat titis mata boleh dihentikan mengikut budi bicara doktor.


World Glaucoma Association

Pesanan penting untuk pesakit glaukoma

Adalah amat penting bagi anda untuk menjalani pemeriksaan glaukoma secara berkala. Sekiranya anda didapati menghidap glaukoma, pilihan rawatan yang berkesan kini tersedia dan rawatan dan pemeriksaan lanjut secara berkala dapat membantu anda mengekalkan penglihatan sepanjang hayat anda, di samping mengelakkan perasaan takut akan menjadi buta.

Anda boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan glaukoma dan menikmati kualiti hidup yang sangat baik, terutamanya jika penyakit ini dikesan lebih awal dan dirawat tepat pada waktunya. Sentiasa ingat bahawa setelah anda menghidap glaukoma, anda mesti berada di bawah jagaan doktor mata sepanjang hayat anda. Terdapat banyak penyelidikan yang sedang dijalankan di masa ini dan rawatan baru untuk glaukoma mungkin akan didapati dalam masa terdekat.

World Glaucoma Association

www.worldglaucoma.org
WGA Facebook
WGA Twitter

World Glaucoma Congress

www.worldglaucomacongress.org

WGA.ONE

www.wga.one

International Glaucoma Review

www.e-igr.com

World Glaucoma Week

www.worldglaucomaweek.org