Apabila mata tercedera, tekanan mata meningkat secara mendadak akibat kerosakan pada struktur sudut mata, hiphema (darah di ruang hadapan mata), keradangan dan beberapa mekanisme lain. Semakin teruk kecederaan, semakin besar peluang untuk glaukoma berlaku dan juga komplikasi mata lain. Tetapi kenaikan tekanan mata juga boleh berlaku di masa hadapan akibat kerosakan struktur jaringan trabekular atau ‘trabecular meshwork’. Jenis glaukoma ini boleh berlaku antara 10 hingga 20 tahun selepas kecederaan asal. Ia juga dianggap sebagai kes-kes glaukoma sekunder.
Adalah disyorkan bahawa mana-mana individu yang telah mengalami kecederaan pada mata mendapatkan pemeriksaan dari doktor pakar mata dari masa ke semasa.